Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan
pembubaran Dewan Rakyat berkuatkuasa hari ini Rabu bagi memberi laluan kepada
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan.
Dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung melalui televisyen, Najib
berkata beliau telah menghadap dan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan
Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah untuk membubarkan Parlimen Ke-12
pada Selasa.
Beliau turut menasihati semua kerajaan negeri untuk membubarkan Dewan
Undangan Negeri (DUN) masing-masing, kecuali Negeri Sembilan dan
Sarawak, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak.
DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.
Sarawak mengadakan pilihan raya negeri pada 16 April 2011 yang
menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 55 daripada 71 kerusi DUN yang
dipertandingkan.
Berikutan pengumuman pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
dijangka mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk menetapkan
tarikh hari penamaan calon dan pengundian.
Mandat kerajaan semasa akan berakhir pada 28 April 2013.
Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum
mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.
Berdasarkan daftar pengundi terkini, jumlah pemilih berdaftar di seluruh
negara ialah 13.3 juta orang yang berdaftar sehingga Disember 2012.
Sejumlah 222 kerusi parlimen akan dipertandingkan pada pilihan raya umum
kali ini termasuk termasuk 31 kerusi di Sarawak, manakala 505 kerusi
DUN, akan dipertandingkan di peringkat negeri.
Ketika Parlimen dibubarkan, komposisi di Dewan Rakyat menyaksikan BN
menguasai 137 kerusi, manakala selebihnya disandang DAP (29), PAS (23)
,Parti Keadilan Rakyat (PKR) (23) kerusi, Parti Sosialis Malaysia (PSM)
dan parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA) masing-masing satu kerusi.
Lapan lagi kerusi disandang anggota Parlimen Bebas.
Pada pilihan raya umum 2008, BN gagal menguasai majoriti dua pertiga
Dewan Rakyat setelah hanya menang 140 kerusi berbanding pakatan
pembangkang 82 kerusi.
Selain gagal menguasai Kelantan, BN juga gagal mempertahankan pemerintahan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Perak bagaimanapun kembali kepada BN kira-kira setahun kemudian setelah
tiga wakil rakyat yang dipilih mengisytiharkan sokongan mereka kepada
BN.
Pilihan raya umum kali ini ialah yang pertama buat Najib yang akan
memimpin jentera BN selepas mengambil-alih jawatan perdana menteri
daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009.
Bagi SPR pula, ia akan melaksanakan lapan elemen baharu dalam pilihan
raya umum kali ini sebagai langkah penambahbaikan perjalanan pilihan
raya selaras dengan cadangan yang terkandung dalam laporan akhir
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Penambahbaikan Pilihan Raya
yang dibentangkan di Parlimen pada 3 April lepas.
Lapan elemen itu termasuk penggunaan dakwat kekal, pengundian awal untuk
menggantikan undi pos bagi anggota polis dan tentera, membenarkan undi
pos bagi masyarakat Malaysia di luar negara dan warga media serta dan
menetapkan tempoh kempen tidak kurang 10 hari.
Selepas pilihan raya umum ke-12, sebanyak 16 pilihan raya kecil
diadakan, ekoran kematian dan peletakan jawatan, iaitu enam bagi kerusi
parlimen dan 10 kerusi DUN, yang menyaksikan masing-masing lapan kerusi
dimenangi BN dan pembangkang.
Pilihan raya kecil Parlimen ialah bagi kerusi Permatang Pauh, Kuala
Terengganu, Bukit Gantang, Hulu Selangor, Sibu dan Batu Sapi manakala
pilihan raya kecil DUN ialah di Bukit Selambau, Batang Ai, Manek Urai,
Permatang Pasir, Penanti, Bagan Pinang, Galas, Batu Sapi, Tenang,
Merlimau dan Kerdau.
Jumlah pilihan raya kecil berkenaan antara yang terbanyak dalam sejarah
pilihan raya negara selepas penggal 1995 hingga 1999 menyaksikan 17
pilihan raya kecil diadakan.
-- BERNAMA
BERCUTI KE HONG KONG : Naik Bas dari Airport
1 year ago
2 comments:
sekarang ni tunggu masa mengundi jer lagi kan? ^_^
@Farah Waheda Wahid ha ah tunggu nk mngundi ja...huaa tak sabar nk pangkah
Post a Comment